Hidup
adalah untuk diuji. Ujian itu tidak akan ada hentinya. Selagi kita
diuji, selagi itulah kita masih hidup. Jadi bersyukurlah... Ujian itulah
jalan untuk kita mengenal Allah. Allah 'memperkenalkan' Dirinya di
sebalik semua ujianNya. Pada ujian sakit, Allah kenalkan Dirinya yang
Maha Penyembuh. Pada ujian miskin, Allah perkenalkan diriNya yang Maha
Kaya. Pada ujian fitnah, Allah sedang memperkenalkan diriNya yang Maha
Penyabar...
Tidak
ada hari tanpa diuji, kerana atas
hukum itulah kita hidup dan mati. Semoga dengan itu kenal kita kepada
Allah makin tinggi... dan akhirnya, cinta kita kepadaNya pun semakin
meningkat. Hakikatnya, apabila kita belum cinta, itu petanda kenal kita
belum sempurna.
Ujian,
membuktikan bahawa di sebalik kuasa diri yang sering kita fokuskan ini,
ada kuasa Allah yang Maha Berkuasa di atas segala kuasa. Ke situlah
perjalanan hati ini sewajarnya dipacu. Sentiasa bersangka baik bukan
hanya bermakna yang baik-baik akan berlaku dalam hidup ini, tetapi hati
kita diberi kekuatan untuk menghadapi 'sesuatu yang tidak baik' dengan
hati yang baik.
Apabila
berlaku
sesuatu yang tidak diduga, tidak disangka, tidak dipinta... jangan
kecewa, marah apalagi mencela. Tetapi tanyakanlah diri, apakah maksud
baik Allah di sebalik semua itu. Dengarlah 'bisikan' tarbiah Allah di
sebalik segala mehnah (ujian). Allah tidak akan menzalimi kita. Ujian
itu penting, tetapi bagaimana kita menghadapinya jauh lebih penting.
Dalam
hidup, peganglah prinsip ini untuk bahagia. Prinsip yang dipegang oleh
Nabi Muhammad SAW dalam apa jua ujian yang melanda... "aku hamba Allah,
Dia tidak akan mengecewakanku!"
Saudara/i,
pembaca... maafkan aku, ketika terlalu sibuk 'menguruskan' diri
sendiri, aku
kehilangan daya untuk terus berkongsi. Bukan kerana mementingkan diri,
tetapi begitulah sunnatullah dalam perjalanan hidup... apa yang bergolak
di dalam kadangkala menyebabkan segala yang di luar menjadi bungkam.
Namun,
mana mungkin kita lari daripada tanggung jawab dan peranan? Lalu,
kugagahi juga untuk berbicara... Bicara tentang ujian. Bicara tentang
bahagia. Bicara tentang iman...
Seorang Isteri yang Diuji
Suaranya sungguh tenang. Walaupun masalahnya agak berat juga tetapi segala-galanya disuarakan begitu teratur.
"Ustaz, semuanya bermula apabila suami saya berpoligami," luahnya perlahan.
"Sudah lama?"
"Baru
sahaja... Sejak dua bulan yang lalu," katanya.
"Puan rasa kecewa, marah?"
"Tidak. Insya-Allah, tidak. Saya boleh menerima segala-galanya dengan baik."
"Jadi
apa masalahnya?" tanya saya terkejut. Selalunya, punca masalah berlaku
apabila isteri pertama tidak boleh menerima hakikat dia telah dimadukan.
"Masalahnya
ialah ibu-bapa saya dan ipar-duai saya. Semuanya menentang. Mereka
beranggapan saya telah dizalimi oleh suami. Mereka desak saya
bertindak."
"Puan bertindak?"
"Tidak. Saya tetap dengan pendirian saya. Saya ingin hadapi semua ini dengan tabah."
"Alhamdulillah, kalau begitu... Jadi, apa masalahnya lagi?"
"Bila
saya tidak mahu bertindak, mereka tuduh saya pula turut bersyubahat
dengan suami. Mereka marahkan saya. Akibatnya hubungan saya dengan
mereka renggang. Tegur sapa dan ziarah menziarahi tidak semeriah dulu
lagi. Saya sedih diperlakukan begini."
Saya
diam. InsyaAllah itu akan memberi ruang untuknya menarik nafas dan
mengatur semula perasaan. Percayalah, acap kali mereka yang mengadu
bermasalah... kekadang tidak bermasalah langsung. Mereka hanya ingin
'didengari'. Teringat apa yang sering ditegaskan oleh pakar psikologi,
manusia peru didengar luahan dan rintihannya sama seperti mereka
perlukan makanan.
"Puan,
kunci keharmonian dalam poligami ini, insya-Allah, terletak di tangan
puan dan suami, bukan di tangan ibu-bapa puan, ibu-bapa suami, apalagi
oleh ipar-duai puan," akhirnya saya bersuara. Perlahan-lahan. Satu-satu.
Mengikut rentak suaranya.
No comments:
Post a Comment