Sudah beberapa jam si pengembara
berjalan kaki memerhatikan pemandangan indah musim bunga di kawasan
perkampungan itu. Bunga-bungaan sedang mekar, unggas dan serangga yang
berterbangan ke sana dan serata halaman rumah yang cantik dihiasi kuntuman
bunga amat menarik perhatian pengembara muda itu.
Tetapi perjalanan yang jauh dan matahari yang sedang terik
menyebabkan pemuda yang cintakan keindahan alam itu mula berasa letih. Tekaknya
kering, sedangkan pengembaraannya masih panjang lagi.
Lantas pemuda itu memutuskan untuk pergi ke sebuah rumah kecil
di sebuah ladang di tepi jalan yang sedang disusurinya itu. Seorang budak
perempuan membuka pintu rumah yang diketuknya tadi. Wajahnya comel.
Pemuda itu menceritakan yang dirinya kehausan, dia berharap
budak perempuan itu dapat memberikannya segelas air. Budak perempuan itu
bergegas ke dapur dan sebentar kemudian kembali mendapatkan pemuda tersebut.
Dia bukan membawa segelas air, sebaliknya segelas susu kerana
dia tahu pemuda tersebut bukan sekadar dahaga tetapi juga memerlukan tenaga
untuk meneruskan pengembaraannya.
“Berapa harga susu ini?” tanya pemuda itu selepas menghabiskan
susu tersebut.
Jawab budak perempuan itu, “Oh,
percuma! Tak perlu bayar. Emak dan ayah telah mengajar saya supaya jangan
meminta sebarang balasan terhadap apa juga kebaikan yang kita lakukan”
Pengembara muda itu tersentuh hati
dengan jawapan tersebut. “Kalau begitu, saya hanya dapat mengucapkan terima
kasih sahaja,”kata pemuda tersebut, disambut oleh budak perempuan itu dengan
senyuman dan anggukan.
Sifat mulia budak perempuan itu
memberikan kesan yang mendalam kepada pemuda yang berkenaan. Kejujuran budak
itu dan keengganannya menerima sebarang bayaran, walaupun dirinya sendiri
miskin, sering saja bermain dalam fikiran pemuda tersebut.
Tahun berganti, budak perempuan itu
yang kini berusia 20-an, diserang penyakit kronik. Dia dihantar ke sebuah
hospital terkenal di tengah kota untuk diperiksa oleh doktor pakar dan
seterusnya menjalani pembedahan. Seorang doktor dipanggil.
Sejurus melihat wajah gadis itu dan
alamat tempat tinggalnya, doktor itu segera terkenang saat dia meneguk segelas
susu suatu ketika dahulu. Tidak lain tidak bukan, inilah budak perempuan yang
pernah memberinya segelas susu dan kemudiannya berkata,” Emak dan ayah telah
mengajar saya supaya jangan meminta sebarang balasan terhadap apa juga kebaikan
yang kita lakukan,”
Kini masanya untuk membalas jasa. Doktor itu melakukan segala
yang terdaya untuk menyelamatkan gadis tersebut. Si gadis ditempatkan di wad
untuk beberapa lama. Pembedahan dilakukan dan penyakit si gadis berjaya diubati.
Kini bayaran perlu dikenakan kepadanya. Bil rawatan ditunjukkan
kepada doktor itu untuk pengesahan. Doktor tersebut menyelaknya sehelai demi
sehelai. Dia memerhatikan setiap angka yang tercatat pada bil tersebut,
kemudian menulis sesuatu di bucu helaian terakhirnya. Setelah itu dia
menurunkan tandatangannya. Bil itu dihantar ke alamat yang tertera, iaitu
sebuah rumah kecil di pinggir ladang.
Gadis tersebut menggeletar sebaik menerima bil tersebut. Helaian
demi helaian dibeleknya, ternyata jumlahnya terlalu besar. Dia tidak mampu
membayarnya. Walau si gadis bekerja sepanjang hayat sekalipun, belum tentu dia
dapat membayar bil yang dikenakan itu.
Jumlah-jumlah yang menakutkan terus terpapar, hinggalah ke
helaian terakhir apabila si gadis membaca satu catatan ringkas di bucunya.
Tulisan itu berbunyi…
—————————————
“Sudah DiBayar Dengan SeGelas Susu.”
“Sudah DiBayar Dengan SeGelas Susu.”
-Dr Howard Kelly-
No comments:
Post a Comment